December 24, 2011

PEMAIN TERBAIK 2011 : English Premier League 11/12

2011 akan melabuhkan tirai dalam beberapa hari saja lagi. Pelbagai ragam dan aksi yang menarik sepanjang penggal pertama EPL berlangsung setakat ini. Pilihan kami ini berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain tersebut bersama kelabnya. Prestasi memberangsangkan dari mereka amat mempengaruhi corak permainan dan keputusan setiap perlawanan yang berlangsung sebelum ini. Layan.

PENJAGA GOL
Tim Krul, Newcastle United.
TIM KRUL merupakan pilihan kami di bahagian ini. Kekebalannya salah satu faktor yang mendorong kepada permulaan yang cemerlang kepada Newcastle pada permulaan musim hingga sekarang. Berasal dari Belanda, Krul boleh dilabelkan sebagai 'Edwin van der Sar' yang baru. Memegang tanggungjawab sebagai benteng terakhir pasukan, tampak tiket untuk mewakili negaranya pada Euro 2012 semakin cerah. Walaupun kalah dalam perlawanan di tempat sendiri kepada Chelsea baru-baru ini yang memberikan tamparan hebat kepada pasukannya, dia telah memberikan yang terbaik untuk pasukannya. Kami memilihnya untuk menjadi penjaga gol terbaik musim ini.   

PERTAHANAN TERBAIK
Micah Richards, Manchester City.
Walaupun berada di kelab yang dipenuhi pemain bintang, MICAH RICHARDS masih memberikan saingan yang membanggakan sebagai bek terbaik Manchester City. Hanya terlepas dua perlawanan, dia menikmati musim yang cemerlang bersama Manchester City. Mempunyai kekuatan fizikal dan rajin membantu bahagian serangan kanan mereka, Richards menunjukkan yang dia berada pada tahap terbaiknya. Sememangnya, khidmatnya sebagai pemain bek kanan amat ditagih oleh skuad England.

Ledley King, Tottenham.
Menakjubkan, ketiadaan LEDLEY KING selama 15 minit di atas padang menyebabkan Tottenham mengalami kekalahan mereka. Statistik ini mungkin kurang tepat tetapi jika kita melihat kepada tiga kekalahan yang dialami oleh Tottenham pada musim setakat 2011 ini, dua kekalahan kepada kedua-dua kelab Manchester dan yang baru-baru ini kepada Stoke City, pemain yang paling dirasai kehilangannya ialah KING! Tidak dinafikan lagi, dia memang memberikan impak kepada bahagian pertahanan mereka yang mengangkat Tottenham antara yang terbaik setakat ini.

Thomas Vermaelen, Arsenal (kiri).
Dengan pemain Belanda dalam pasukannya yang lain hangat menjadi perbualan di media massa, tidak ketinggalan, THOMAS VERMAELEN turut mencuri tumpuan sebagai pemain yang menonjol sekali di EPL. Menjadi nadi utama The Gunners, 'stopper' Belgium ini yang kurang beraksi pada musim lepas, kembali pada tahap terbaiknya musim ini bersama Arsenal. Tenang dalam bertahan, dia menunjukkan yang dia merupakan pertahanan terbaik kami musim ini.

Jose Enrique, Liverpool.
King Kenny telah memilih JOSE ENRIQUE untuk bermain pada setiap perlawanan melibatkan The Kops pada musim ini dan ini amat mengejutkan! Kami boleh katakan yang Jose merupakan pembelian terbaik Liverpool musim ini dengan nilai 5 Juta Pound daripada Newcastle musim panas yang lalu. Konsisten dan kental bertahan, mungkin Sepanyol boleh mempertimbangkan untuk menyerap Jose dalam skuad sedia ada kerana juara dunia itu kekurangan individu berkaliber seperti Jose di bahagian ini.

PEMAIN TENGAH TERBAIK (DEFENSIVE)
Scott Parker, Tottenham.
Jika Enrique satu pembelian terbaik Liverpool, sama ceritanya dengan SCOTT PARKER yang bermain dalam posisi bertahan, formasi 4-2-3-1. Ikon West Ham(kelab lamanya) ini tiba pada 31 Ogos yang lalu dengan yuran perpindahan yang rendah tetapi menunjukkan persembahan yang terbaik bersama bintang Tottenham yang lain. Pada umurnya sekarang iaitu 31 tahun, Parker nampaknya mula menunjukkan yang dia layak untuk memainkan peranan penting sebagai 'key player' dalam skuad England pada Euro 2012 nanti. 

Lucas Leiva, Liverpool.
Salah seorang pemain yang menunjukkan peningkatan yang banyak musim ini, LUCAS LEIVA menafikan ejekan lawan kepadanya sejak ketibaannya di Liverpool dahulu. Pemain kelahiran Brazil ini meningkat sedikit demi sedikit dan pada musim ini menunjukkan belangnya, bertindak cemerlang dengan gerakan bahaya, bertenaga dan kualiti yang sebenar di bahagian tengah pasukan The Kops. Pemain penting dalam pasukan ini walaupun dikhabarkan akan terlepas baki perlawanan sehingga akhir musim kerana kecederaannya baru-baru ini.

PEMAIN TENGAH TERBAIK (ATTACKING)
Sergio Aguero, Manchester City.
Perpindahannya ke EPL ternyata mengujakan peminat bola sepak England. Debutnya bersama Manchester City sewaktu bertemu Swansea amat menakjubkan. SERGIO AGUERO mengumpul 13 jaringan gol setakat ini, termasuk hatrik ketika bertemu Wigan. Dia seorang yang kreatif dalam membantu pemain penyerang yang lain dalam pasukannya seperti Mario Balotelli dan Edin Dzeko dalam mencetak gol dan meletakkan dirinya antara penjaring terbanyak saat ini di EPL!

Wayne Rooney, Manchester United.
WAYNE ROONEY bukan pada prestasi terbaiknya pada musim ini tetapi bintang Manchester United ini telah menjaringkan 13 gol liga hanya dalam 16 perlawanan! Memulakan kempen dengan hatrik sewaktu membenam Arsenal 8-2, dan menjaringkan 3 lagi gol sewaktu menentang Bolton. Semasa perlawanan menentang Wolves, QPR dan Fulham baru-baru ini, Rooney sekali lagi menampilkan aksi terbaik seperti permulaan musimnya dengan banyak melakukan tendangan berbahaya ke gawang lawan.

David Silva, Manchester City.
Tidak dapat dinafikan lagi, pemain terbaik pada musim ini semestinya jatuh kepada DAVID SILVA. Menampilkan permainan yang berkualiti sejak awal musim sehingga sekarang, Silva memainkan peranan penting dalam membenam musuh setempat mereka, Manchester United dengan jaringan 6-1. Sering menjaringkan gol-gol penting perlawanan, contohnya gol sewaktu menentang Arsenal minggu lalu, kualiti pemain tengah ini dalam merancang gerakan menyerang sering mendapat tumpuan peminat. Dengan kualiti gelecek dan hantarannya, sememangnya, dia yang terbaik antara yang terbaik dalam posisinya di EPL pada masa ini!  

PENYERANG TERBAIK
Robin van Persie, Arsenal.
Kapten pasukan Arsenal, ROBIN VAN PERSIE menunjukkan kita yang dia sememangnya yang terbaik di posisinya buat masa ini. Seorang 'finisher' yang sejati, penyerang ini sudah menjaringkan 16 gol dalam 17 perlawanan dan mengetuai senarai penjaring terbanyak dalam carta setakat ini. Persembahan yang ditonjolkannya seakan-akan menjamin tempat Arsenal dalam kedudukan 4 pasukan yang terbaik dalam liga musim pada penghujung musim nanti. Hatriknya sewaktu menentang Chelsea yang berkesudahan 5-3 antara cerita menarik sepanjang musim ini. Jika dia kekal cergas dan meneruskan momentum jaringannya ini, sudah tentu Arsenal boleh menarik nafas lega pada akhir musim ini. 

Pilihan-pilihan yang kami pilih ini mungkin sama atau mungkin tidak menepati pilihan pembaca sekalian. Jika ada pemain yang kami terlepas pandang, jangan malu jangan segan, kongsi pendapat anda dengan memberikan pemain pilihan anda sendiri di ruangan komen kami. Mungkin kami akan memberi sedikit review berkenaan pemain pilihan anda. Terima kasih. =)

2 Pengulas Tetap:

ledley king patut diganti dengan phil jones

ya..perkembangan phil jones amat mengagumkan setakat ini..nanti akan buat review psl jones..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...